Wednesday, 29 August 2012

Kenalkah kita..?

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum..

Seperti yang saya katakan hari tu, ada sesuatu yang nak dikongsikan bersama. sesuatu yang buatkan diri ini sebak bila membacanya, dan saya pasti kalian juga mampu jadi seperti diri ini andai 'baca dengan mata hati'. kisah tentang nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. apakah kita benar-benar kenal nabi kita..? sedikit sebanyak yang saya baca, saya kongsikan bersama kalian. Bismillah....



Beliau adalah Muhammad, anak kepada Abdullah dan Aminah,
bangsa Quraisy dari Bani Hasyim,
beliau adalah anak yatim piatu,
seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja dengan ibubapanya seperti orang lain,
lahir daripada keluarga yang miskin dan dipelihara pula oleh keluarga yang miskin.

Beliau adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai oleh Tuhan,
iaitu yang diberi nama Nur Muhammad,
dari Nur Muhammad seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan,
Syurga, Neraka, Dunia, Akhirat, Para Malaikat, Arasy, Kursy, Sirat, Manusia, jin, haiwan, dll.
maksudnya kalau bukan kerana Nabi Muhammad s.a.w, yang lainnya tidak akan diwujudkan.

Beliau adalah satu-satunya nabi yang diisrak dan dimikrajkan,
mukanya laksana bulan purnama kerana cahayanya yang terang,
beliau hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Allah,
kerana itulah dipanggil Habibullah oleh Allah,
ketua seluruh para rasul dan para anbiya, penghulu seluruh orang yang bertaqwa, imam seluruh manusia,
syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat,
orang yang memberi syafaatulkubra di Akhirat, dan orang yang pertama masuk Syurga,
Al-Quran kitab yang diturunkan kepadanya yang paling lengkap,
merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung, tiada siapa yang dapat menirunya.

Beliau memiliki ilmu dunia dan Akhirat, sekalipun beliau tidak boleh menulis dan membaca,
mempunyai akhlak yang paling mulia, bahkan lebih mulia dari para malaikat,
kasih sayangnya kepada manusia begitu terserlah.
tawadhuknya @ merendah diri adalah pakaian peribadinya,
kerana itulah beliau sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin,
menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah,
tiada seorang pun yang melihat mukanya, melainkan jatuh cinta kepadanya,
bahkan seperti orang mabuk tidak boleh melupakannya.

Beliau sangat kasih dan simpati pada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda,
pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya,
orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa,
adakala seperti ibu dan ayah, adakalanya macam kawan yang membela dan setia,
adakala dirasakan guru, adakalanya bagai pemimpin, ketua tentera,  
setiap orang yang semajlis dengannya, merasakan dapat layanan yang memuaskan darinya.

kerana akhlaknya yang tinggi beliau mendapat pujian daripada Allah,
keberaniannya yang luar biasa, beliau boleh lalu seorang diri di hadapan musuh-musuhnya,
tidak sedikit pun takut dengan raja-raja,
setiap orang yang meminta tidak pernah dikecewakan,
sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia,
ibadahnya banyak terutama solat, hingga bengkak-bengkak kakinya kerana terlalu lama berdiri dihadapan Allah.

tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan,
sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa saja,
beliau membalas kejahatan orang dengan kebaikan,
satu perbuatan yang luar biasa, tidak pernah menghina, mencaci dan merendah-rendahkan orang lain,
sangat pemalu dan merendah diri, sangat menerima keuzuran orang,
sangat tahan menerima ujian yang berbagai-bagai keadaan dan bermacam-macam bentuknya,
kerana itulah beliau dapat menjadi Ketua Ulul Azmi, daripada keseluruhan para rasul,
beliau suka seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah,
hatinya tidak tidur, cuma matanya saja yang tidur, kerana itulah beliau tidur tidak membatalkan wudhuknya.

kemuliaannya disisi Allah begitu ketara dan terserlah, namanya dikampilkan bersama dengan nama Allah, iaitu didalam dua kalimah syahadah,
bahkan tidak sah Islam seseorang jika tidak diucapkan namanya bersama dengan nama Allah,
doa yang hendak dikabulkan, awal dan akhir perlu disebut namanya, 
siapa yang banyak berselawat dengannya diberi syafaat di Akhirat,
siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat,
mukjizat-mukjizatnya yang terlalu banyak menunjukkan kebenarannya,
peluhnya bak mutiara, wanginya lebih wangi daripada kasturi,
orang tidak dapat menentang matanya kerana kehebatannya amat terserlah diwajahnya,
terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangan bila bertembung dengan pandangannya.

banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah kepadanya, sehinggakan sebahagian perkara-perkara yang belum terjadi seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakan,
terlalu kuat tawakalnya kepada Allah, hinggakan makanan yang berlebihan tidak disimpan di malamnya,
bahkan diberi kepada yang berhak, 
apabila beliau buang air, tidak ada kesannya selepas membuangnya,
lalat tidak pernah hinggap pada badannya,
kalau beliau berpaling, beliau berpaling dengan seluruh badannya,
tidak pernah makan seorang diri melainkan berkawan,
tidak pernah mencerca makanan, jika tidak suka, beliau tidak makan makanan itu.
sangat menghormati dan memuliakan tetamunya,
terlalu menjaga hak-hak jirannya sekalipun kafir,
terlalu mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri.

dapat menyatupadukan manusia yang berbagai etnik, puak, kaum, bangsa dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya,
bahkan dapat menanamkan rasa kasih sayang satu sama lain di kalangan manusia,
melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Allah,
berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya,
mampu menjadikan setiap orang rasa berpuas hati dibawah naungan pimpinannya sekalipun yang bukan Islam,
mereka merasakan beliau adalah pelindung dan penyelamat kepada seluruh manusia sekalipun binatang.

itulah beliau Nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w,
seorang manusia yang luar biasa, yang teristimewa,
yang kejadian dan akhlaknya paling sempurna, tiada tandingannya.
baru sedikit yang diceritakan sudah mengkagumkan kita.
apakah peribadi seperti ini kita tidak jatuh hati padanya?
apakah kita tidak terasa bahawa beliau adalah manusia yang terlalu berjasa kepada seluruh manusia?
apakah kita tidak terasa terhutang budi padanya?
bahkan patut bersyukur kepadanya sepanjang masa.
bolehkah kita samakan beliau dengan pemimpin-pemimpin yang lain di dunia? (jauh panggang dari api/macam langit dengan bumi)
lantaran itulah, orang yang benar-benar kenal nabinya bersama Tuhannya, sanggup mati kerananya.
patut sangatlah beliau menjadi idola dan ikutan kita,
agar kita menjadi satu bangsa yang berTuhan, merdeka, bersatu, berakhlak mulia, bertamadun, bersih dari noda dan dosa.
Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita. 

TAHNIAH dan TERIMA KASIH diucapkan pada yang sudi meluangkan sedikit masa 'membaca dengan mata hati' dari awal hingga ke akhirnya. sedikit sebanyak, mudah-mudahan memberi manfaat kepada kalian yang membaca. :')



**pohonlah kepada Allah Taala, agar Dia mengurniakan kita keampunan, berkat rahmat dan belas kasihan-Nya. juga, moga Dia berikan kekuatan jiwa kepada kita untuk kita mengubah sikap dan cara hidup kita kepada cara hidup Rasulullah s.a.w. sama-samalah kita banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w di sepanjang hayat kita. mudah-mudahan kita mendapat tempat di hati baginda di akhirat kelak. amin ya rabbal alamin....


Salam sayang 
NurFarhahIzzaty

No comments:

Post a Comment